Terengganu FC yakin isu sekatan perpindahan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dapat diselesaikan sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dibuka pada Januari 2027.
Dalam satu kenyataan rasmi, pengurusan skuad Peteh menjelaskan bahawa perkara itu berpunca daripada tuntutan terdahulu yang masih perlu diselesaikan oleh pihak kelab.
Menurut kelab, beberapa langkah telah diambil bagi memenuhi tuntutan berkenaan, termasuk membuat pembayaran secara berkala.
“Pihak kelab telah menjalankan tanggungjawab secara profesional dan mematuhi setiap prosedur perundangan bola sepak antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Terengganu FC turut menegaskan bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai tarikh pembukaan jendela pendaftaran kedua yang dijadualkan bermula pada 5 Januari 2027.
“Penyelesaian perihal ini akan dibuat dengan profesional tanpa menjejaskan perancangan pasukan dan kelab musim ini,” menurut kenyataan tersebut.
Pengurusan kelab turut memberi jaminan bahawa urusan berkenaan akan ditangani secara telus dan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.
Terdahulu, Terengganu FC dilaporkan menjadi antara kelab Liga Super yang dikenakan sekatan perpindahan FIFA berdasarkan semakan terhadap pangkalan data badan induk bola sepak dunia itu.
Perkembangan tersebut meletakkan penyelesaian tuntutan terdahulu sebagai keutamaan buat pengurusan Terengganu FC bagi memastikan perancangan pasukan menjelang jendela perpindahan kedua tidak terjejas.