Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon mahu anak buahnya tidak ambil mudah pertembungan dengan Kuching City FC malam ini untuk memastikan pasukan mampu mara ke pentas final Piala FA, musim ini.

Musim lalu, impian Selangor FC untuk ke final terkubur selepas mereka tewas kepada Sabah FC di separuh akhir dan sudah tentu mereka ingin memastikan kekecewaan itu tidak berulang lagi untuk mendapatkan keputusan positif di separuh akhir pertama hari ini.

Mengambil kira perhitungan yang lebih sukar pasti akan dilalui di aksi timbal balik yang akan berlangsung di tempat lawan, pastinya skuad The Red Giants ini akan bekerja keras memastikan mereka membawa bekalan yang lebih selesa sebelum berkunjung ke Stadium Taha Ariffin.

Pan Gon turut menegaskan keinginan untuk ke final musim ini menjadi motivasi utama buat barisan pemain selain menyedari kualiti yang ada pada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang tidak boleh dipandang mudah.

“Bagi kami, perlawanan ini sangat penting. Kami mahu mara ke final kali ini.

“Semangat dan keazaman pemain jadi aspek penting yang perlu dibawa ke perlawanan yang berintensiti tinggi seperti ini dalam separuh akhir”, katanya.

Selain misi memburu keputusan positif malam ini, pengendali kelahiran Korea Selatan itu mengharapkan aksi yang lebih agresif dan berkualiti dapat ditampilkan oleh barisan pemain sebagai penghargaan juga kepada para penyokong yang tetap hadir memberikan semangat di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Pemain saya tetap ada semangat dan motivasi yang tinggi. Kami akan membuat persiapan dengan sebaik mungkin. Kami mahu mendapatkan keputusan yang lebih baik dan pada masa yang sama memberikan persembahan terbaik kepada para penyokong kami,” katanya.

Skuad The Cats akan berkunjung ke Stadium MBPJ hari ini di mana perlawanan akan berlangsung pada jam 9 malam.