PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyifatkan berlaku salah faham berhubung dakwaan pemotongan gaji oleh bekas pemain, Faisal Abdul Halim.

Presiden PBSNT, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, satu jalan penyelesaian aman perlu dilakukan kedua-dua pihak bagi menamatkan perkara berkenaan.

“Kesahihan dakwaan itu saya tidak mahu jawab kepada media, biar dia (Faisal) hantar surat (rayuan) rasmi dahulu untuk pihak pengurusan mengambil tindakan berikutnya.

“Ada perkara yang tidak patut berlaku tetapi pemain itu melakukannya. Jadi ada tindakan pada peringkat awal. Namun masih ada ruang perbincangan dan Faisal boleh hantar surat rayuan.

“Dia pun tahu perkara ini. Kami mahu selesaikan secara baik dan akan tunggu komunikasi atau surat daripada pihak pemain itu dulu,” jelas Ahmad Samsuri.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) 2022 di sebuah hotel di sini, pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN : “Selamat berjaya dan hati-hati di Ganu”, pesan Mickey kepada Adib

Pada Ahad, Faisal yang bersama skuad kebangsaan dalam Piala AFF mendakwa gaji bulan terakhirnya telah dipotong 15 peratus oleh TFC tanpa sebarang sebab kukuh.

Pemotongan itu difahamkan berpunca tindakan pemain itu membuat kenyataan media tanpa kebenaran pasukan ketika kempen Liga Malaysia berlangsung.

Isu berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan fokus pemain baharu Selangor FC itu yang telah menjaringkan tiga gol dalam dua aksi bersama Malaysia dalam Piala AFF ketika ini.