TERENGGANU FC (TFC) ternyata merasai kehilangan Akhyar Rashid dalam pasukan itu apabila seri terikat tanpa jaringan dengan Kelantan Darul Naim (KDN) pada aksi pra musim terakhir, sebentar tadi.

Pemain lincah itu terpaksa diketepikan setelah menjadi mangsa samun pada Khamis sehingga menerima enam jahitan dengan tempatnya dalam kesebelasan utama diganti Norhakim Hassan.

TFC bagaimanapun bermula baik menerusi percubaan Ismaheel Akinade seawal minit ke-10 namun KDN bangkit menyaksikan tandukan Michael Jerabek terkena tiang pada minit ke-14.

Terengganu FC

Skuad Penyu kemudian memiliki peluang keemasan melalui percubaan berturut-turut Manuel Ott pada minit ke-18 dan ke-19 malangnya tiang turut menjadi penghalang.

Rentak permainan selepas itu dikuasai KDN selepas rembatan leret penyerang import, Valdumar Augusto minit ke-36 ditepiss penjaga gol TFC, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Bersambung babak kedua, TFC bagaikan hilang arah apabila terus diuji mujur rembatan Muhammad Faizal Talib minit ke-49 disusuli tolakan Jerabek (m-53) tinggi melepasi sasaran.

Kehilangan Akhyar yang sebelum ini serasi di sebelah kiri jelas menjejaskan TFC sehingga mereka hanya memiliki satu percubaan tepat menerusi sepakan percuma Marin Pilj minit ke-73.

Kelantan Darul Naim

Sebaliknya KDN tampil lebih meyakinkan namun dikecewakan ketumpulan penyudah memaksa permainan ujian Video Bantuan Pengadil (VAR) itu berakhir seri tanpa jaringan.

Ketiadaan Akhyar yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) pasti merunsingkan Tomislav Steinbruckner menjelang sepak mula Liga Super bertemu Perak di laman sendiri pada 11 Mei ini.

Tonggak Harimau Malaya itu menerima empat jahitan di bahagian kepala dan dua di bahagian kaki setelah disamun dua lelaki tidak dikenali di perkarangan kondominium yang didiaminya, malam tadi.