CABARAN getir menanti skuad negara dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 apabila Malaysia diundi satu kumpulan dalam acara double bersama gergasi dunia, Thailand.
Situasi itu memerlukan usaha getir double negara jika berhasrat mengungguli kumpulan yang turut menyenaraikan Taiwan dan Nepal dalam Kumpulan B.
Undian rasmi yang berlangsung secara langsung disiarkan dari Kuala Lumpur menyaksikan kumpulan A acara double dibarisi Indonesia, India dan Brunei.
Bagi acara kuadran, Malaysia turut berdepan laluan mudah dalam Kumpulan B apabila diundi bersama Jepun, China dan Filipina. Sementara itu, Kumpulan A terdiri daripada Vietnam, Singapura, Korea dan Pakistan.
Dalam acara regu berpasukan, Malaysia akan membuka kempen Kumpulan D menentang Filipina, Nepal dan Singapura.
Sementara dalam regu lelaki, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea, Brunei dan Jepun, manakala Kumpulan A pula membariskan Thailand, China, India dan Singapura.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, undian awal ini merupakan pendekatan baharu yang dilakukan bagi memberi peluang kepada setiap negara membuat persiapan lebih rapi.
“Empat acara dipertandingkan iaitu regu (mandatori), kuadran, double dan regu berpasukan. Kita sediakan platform siaran langsung undian agar semua negara berpuas hati dengan proses yang dijalankan. Ini juga membantu pasukan membuat perancangan awal,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia menyasarkan untuk mara ke semua empat pentas final, dengan keutamaan kepada acara double dan regu – dua acara yang pernah menjulang kejuaraan di gelanggang yang sama ketika Piala Dunia tahun lalu.
“Sasaran kita adalah layak ke empat-empat final, khususnya dalam acara double dan regu, kita sasarkan emas. Kita bermain di tempat sendiri, di depan penyokong kita. Jadi ini adalah peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan,” ujarnya.
Datuk Sumali turut memaklumkan tahap persiapan pemain kini berada di tahap 80 hingga 90 peratus, hasil penambahbaikan selepas Kejohanan Dunia di India dan beberapa sesi post-mortem.
“Fokus kini lebih jelas. Pemain sudah ditetapkan untuk acara masing-masing supaya mereka boleh beri sepenuh tumpuan dalam baki masa sebulan ini,” katanya.
Kejohanan akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 10 hingga 18 Mei.