SEKOLAH Menengah Sains Mahmud Old Boys (SESMA OB) membuktikan kehebatan alumni, apabila muncul juara Liga Ragbi Terengganu 2025 selepas menewaskan pasukan pilihan, Marang Rugby 24-14 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, semalam.
Beraksi penuh bersemangat di bawah kendalian Mohd Nazri Mohd Ramli, bekas pelajar sekolah berasrama penuh itu berjaya mengekang asakan agresif Marang sepanjang perlawanan dan menamatkan kempen liga dengan penuh bergaya.
Bekas kapten skuad kebangsaan, Mohamad Nasharuddin Ismail muncul watak penting kejayaan pasukan apabila menyempurnakan empat penalti dan satu conversion yang meletakkan SESMA OB di depan dari awal.
Kejayaan itu membolehkan SESMA OB memintas Kemaman Rugby di kedudukan teratas liga menerusi kelebihan jaringan, walaupun kedua-dua pasukan mengumpul mata sama selepas tamat saingan.
“Kami tak jangka akan jadi juara. Sasaran awal cuma tempat kedua. Tapi pemain berikan aksi luar biasa dan kemenangan ini hadiah buat semua alumni,” kata Nazri yang cukup bangga dengan pencapaian anak buahnya.
Sementara itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menewaskan Royal Malaysia Police Terengganu 36-7, manakala Marang Rugby sekadar menamatkan liga di tangga keempat.
Nasharuddin dinobat penjaring terbanyak kejohanan, rakan sepasukan Muhammad Haikal Ibrahim dipilih Pemain Backline Terbaik, manakala anugerah Pemain Forward Terbaik menjadi milik Mohd Harith Asyraff Rosid dari Kemaman Rugby.