BEREHAT panjang bukan alasan. Itu cabaran dilontarkan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi yang mahu dua gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, menghadiahkan sekurang-kurangnya satu gelaran di Jepun atau China bulan depan.

Jurulatih yang dikenali dengan gelaran Naga Api itu percaya persiapan mantap serta momentum semasa pemainnya, mampu diterjemah kepada kejayaan di dua kejohanan besar itu. “Saya memang berharap kita boleh menang salah satu gelaran itu,” katanya, selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Kedua-dua pasangan negara kini berada dalam prestasi terbaik. Aaron-Wooi Yik sudah membuktikan kemampuan dengan menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC), Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pasangan nombor dua dunia.

Sementara itu, Wei Chong-Kai Wun juga tidak kurang hebat apabila muncul juara Masters Malaysia dan mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia, satu peningkatan ketara sejak berada di bawah bimbingan Herry.

Terbuka Jepun menawarkan 11,000 mata ranking dijadual dari 15 hingga 20 Julai manakala Terbuka China yang lebih prestij berlangsung seminggu selepas itu. Kedua-duanya medan terbaik bagi beregu negara menambah koleksi kejuaraan.