BEREGU muda lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri belum bersedia untuk menyertai kejohanan, menjadi alasan mengapa pasangan itu tidak dihantar menyertai Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi berkata, gandingan itu belum bersedia sepenuhnya dari segi latihan dan persiapan.

Berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan, Herry mahu mengelak penyertaan yang tidak efisien memandangkan tempoh latihan mereka terlalu singkat selepas pulih daripada kecederaan.

“Oh tak hantar. Saya fikir masa untuk persiapan latihan tak cukup. Kalau kita pergi sana, tapi pergi sendiri (satu beregu), saya rasa kurang efisien. Jadi kalau saya plan, mesti ada minimum dua beregu supaya boleh buat training dan persiapan main sama-sama,” katanya ketika ditemui.

Selain faktor persiapan dan tahap kecergasan, Herry IP tidak mahu menghantar satu beregu sahaja ke pertandingan.

Haikal yang baru kembali selepas berehat panjang akibat kecederaan turut mengakui dia masih bergelut mencari semula prestasi terbaiknya dan menganggap masa latihan yang terhad menjadi faktor utama mereka tidak turun beraksi di dua kejohanan itu.

“Itu pun saya baru habis satu bulan tak training. Jadi memang struggle. Kecederaan pun bagi tekanan. Tapi saya harap lepas ni boleh fokus ke kejohanan seterusnya, mungkin di China,” ujar Haikal.

Dalam pada itu, Haikal yang kini berada di ranking ke-47 dunia bersama Hon Jian, turut mendedahkan antara cabaran utama mereka adalah mendapatkan semula keserasian, terutamanya dalam komunikasi dan rotasi di gelanggang, selepas lama tidak beraksi bersama Hon Jian.

“Memang sekarang dah boleh go all out. Tapi kita struggle sikit dari segi komunikasi dan permainan berpasangan. Masih dalam proses nak dapatkan balik rentak,” katanya yang pernah menghuni tangga ke-18 dunia, September tahun lalu.