Hampir 300 pelajar daripada 60 sekolah sekitar Kuala Lumpur menyertai Klinik Sepak Takraw League (STL) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, sekali gus menjadikan sukan tradisional itu sebagai platform memupuk perpaduan dan mengembangkan bakat generasi muda.
Program anjuran Astro dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) itu membuka tirai siri Klinik STL musim ini pada 15 Oktober lalu, membabitkan pelajar dari daerah Bangsar, Pudu, Keramat dan Sentul.
Menariknya, penyertaan kali ini merangkumi pelajar pelbagai kaum dan etnik, termasuk masyarakat Cina, India serta pelajar dari Sabah dan Sarawak. Program itu turut melibatkan pelajar wanita menerusi Program Sukan Untuk Gadis Remaja (SUGAR), memperluas peluang penyertaan dalam sukan sepak takraw.
Kehadiran pemain KL Thunder yang juga pemain kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, memberi peluang kepada peserta mendapatkan tunjuk ajar secara langsung daripada pemain berpengalaman. Syahir berharap pendedahan di peringkat sekolah dapat membantu lebih ramai anak muda mengenali sukan berkenaan dan mengembangkan potensi mereka.
Sementara itu, sesi latihan dikendalikan ketua jurulatih Klinik STL musim ini, Suhairi Sulaiman, yang juga bekas pemain kebangsaan. Beliau menekankan kepentingan pembangunan bakat dari peringkat akar umbi, termasuk memberi ruang kepada atlet wanita untuk mengembangkan kemahiran serta berpeluang melangkah lebih jauh dalam sukan itu.
Selepas penganjuran di Kuala Lumpur, lima lagi siri Klinik STL 2026 terbuka dijadual berlangsung di Perak pada 24 Oktober, Melaka (14 November), Negeri Sembilan (12 Disember), Johor (19 Disember) dan Selangor pada 9 Januari 2027.
Siri berkenaan turut berfungsi sebagai platform pemilihan bakat bagi menyertai Kem Final Klinik STL 2026 yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 17 Januari 2027 di Akademi Sepak Takraw Malaysia. Peserta terpilih akan mengikuti latihan lebih intensif bagi meningkatkan kemahiran dan potensi masing-masing.
Pendaftaran dibuka kepada peserta lelaki dan wanita berusia antara 13 hingga 17 tahun. Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta mendaftar menerusi laman rasmi Astro di www.astro.com.my/klinikSTL.