Malaysian Football League (MFL) mengambil langkah lanjut berhubung insiden kekecohan yang tercetus selepas aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Kuching City FC dan Selangor FC apabila menyerahkan laporan serta bukti berkaitan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah selesai mengumpulkan semua maklumat berhubung insiden yang membabitkan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan di Stadium Taha Ariffin, Kuching, Ahad lalu.

Dokumen yang diserahkan merangkumi laporan daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil serta Ketua Pegawai Medan yang bertugas sepanjang perlawanan berkenaan.

Kesemua maklumat itu diserahkan kepada FAM untuk penelitian dan tindakan selanjutnya menerusi Jawatankuasa Tatatertib badan induk berkenaan, selaras dengan bidang kuasa yang dimiliki persatuan tersebut.

Dalam masa sama, MFL turut menjalankan penelitian terhadap kemungkinan tindakan susulan yang boleh dikenakan berdasarkan peraturan serta bidang kuasa organisasi itu sendiri.

MFL menegaskan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terbabit dalam mencetuskan kekecohan.

Badan pengelola Liga Malaysia itu turut menekankan bahawa sebarang perlakuan tidak wajar yang bercanggah dengan prinsip semangat kesukanan tidak boleh dipandang ringan.

Insiden tersebut berlaku ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA yang menyaksikan Kuching City menewaskan Selangor 2-0 untuk mara ke final menerusi kemenangan agregat 3-2 selepas perlawanan berlanjutan sehingga masa tambahan.

Perkembangan terbaharu ini membuka ruang kepada FAM untuk meneliti laporan rasmi sebelum menentukan tindakan disiplin yang bersesuaian terhadap mana-mana pihak sekiranya terdapat pelanggaran peraturan.