PERMULAAN yang baik buat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) yang mencatat kemenangan pertama ketika bertemu pasukan Thailand pada aksi Kumpulan B Sukan SEA 2021 yang kini berlangsung di Hanoi, Vietnam.
Pengurus pasukan, Datuk Posa Majais mengakui penampilan skuad muda negara lebih baik berbanding sebelum ini yang berdepan dengan kekangan pemain serta pandemik Covid-19.
“Pasukan kali ini lebih kurang 95 peratus lengkap dengan persediaan dan bersedia berdepan dengan perlawanan seterusnya bertemu Laos. Kemenangan dengan Thailand (2-1) adalah suntikan semangat untuk terus cemerlang.
“Ini juga masa untuk membalas dendam bagi dua kekalahan ketika bertemu pasukan itu sebelum ini. Jelas juga bahawa Laos bukan lagi pasukan belasahan,” jelasnya kepada media selepas Sidang Media Pengumuman Penjualan Tiket Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2023, Isnin.
Posa yang juga merupakan Naib Presiden FAM yakin skuad negara akan kekal mempamerkan aksi cemerlang pada saingan kedua kumpulan Rabu ini.
Malaysia kini menerajui kumpulan B dengan 3 mata diikuti Laos dan Singapura masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan 1 mata.
Skuad b-23 negara bakal berdepan Laos pada (11 Mei), disusuli pertemuan menentang Singapura (14 Mei) sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan B bertemu Kemboja (16 Mei).