KEKALAHAN besar 0-16 skuad Malayan Tigress B-20 di tangan Jepun dalam aksi Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 nyata mengundang pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak tempatan, yang rata-ratanya menyeru agar ia dijadikan pengajaran dan titik tolak kebangkitan bola sepak wanita negara.
Ramai berpendapat jurang kualiti antara Malaysia dan Jepun masih terlalu jauh, bukan sahaja dari segi fizikal dan taktikal, malah dalam aspek penguasaan bola serta keberanian membina serangan. Ada yang melihat kelemahan ketara pada “ball mastery” dengan pemain lebih gemar melakukan hantaran jauh atau sekadar mengeluarkan bola tanpa proses membina serangan dari bawah.
“Mohon scouting buat kerja lebih… masih ramai di luar sana yang berbakat. Main la wide, build up game dari bawah… moga ada sinar buat bola sepak wanita Malaysia,” ujar seorang penyokong, Paja Lasek.
Nada sama dikongsi Aiman B Jamaludin yang menganggap kekalahan ini bukan pengakhiran, tetapi peluang untuk mencari kelemahan dan memperbaikinya. “Tabah. Semua perlu bersatu. Bukan hanya pemain dan jurulatih. Terus bangkit. Keep fighting,” katanya.
Ada juga yang mempersoalkan strategi jangka pendek, termasuk cadangan naturalisasi dan mencari pemain warisan untuk mempercepatkan peningkatan prestasi. “Berapa lama lagi kita boleh tunggu untuk setara dengan pasukan seperti Jepun, Korea, Australia, China? Pihak pengurusan FAM fikir-fikirkanlah,” tegas Aisam Marali.
Bagi penyokong seperti DumaBe Sabid, kekalahan besar ini memang pahit untuk ditelan tetapi harus dijadikan titik mula. “Sakit bila kalah tapi mungkin ini ganjaran untuk tersenyum bila menang. Usaha lagi,” tulisnya.
Walaupun berat menerima keputusan itu, majoriti penyokong masih mahu melihat skuad muda negara terus diberikan pendedahan dan peluang bermain di peringkat tertinggi, dengan harapan suatu hari nanti jurang besar ini mampu dirapatkan.