PEMAIN tengah kebangsaan, Brendan Gan menganggap perkara yang paling sukar perlu dihadapi skuad Harimau Malaya ketika ini adalah pertukaran jurulatih pasukan Oman yang pastinya menggangu persiapan taktikal pasukan.
Oman memecat pengendali asal Croatia, Branko Ivankovic selepas aksi hambar di Piala Asia 2023 dan melantik jurulatih dari Republik Czech, Jaroslav Silhavy sebagai jurulatih baharu untuk mengemudi skuad menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Malaysia.
Namun Brendan tetap tenang dan mahu dia serta rakan-rakan sepasukannya fokus kepada sesi latihan dengan mengikut arahan barisan kejurulatihan yang pastinya tahu bagaimanapun hendak menyekat pasukan di tangga ke-80 dunia itu.

Skuad Harimau Malaya giat berlatih pada hari kedua kem latihan pusat
“Oman mendapat ketua jurulatih baharu yang sudah pasti akan menggunakan taktik baharu dan menggangu sistem yang telah digunakan sebelum ini dan itu pastinya menjadi bahagian paling sukar untuk kami kenal pasti corak permainan apa yang akan mereka gunakan.
“Tetapi apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah fokus kepada diri kami sendiri serta mengenalpasti segala kesilapan yang telah dilakukan kerana kami perlu mengekalkan kedudukan teratas yang dimiliki ketika ini,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM pada Sabtu.
Bekas tonggak Selangor FC itu turut mengakui kem latihan pusat kali ini lebih sukar kerana para pemain kurang cergas selepas penghujung musim dan liga yang hanya akan bermula pada Mei 2024.
“Sudah tentu ianya sukar untuk setiap pemain selepas kembali dari cuti penghujung musim dengan ada beberapa pemain hanya menjalani satu atau dua sesi latihan sahaja.
“Atas sebab itu jurulatih memanggil kami lebih awal untuk berlatih lebih giat dengan intensiti yang tinggi bagi memastikan kami mampu bersaing dengan pasukan yang kuat seperti Oman.
“Apa yang kurang sekarang adalah pemain perlukan kecergasan permainan dan intensiti. Inilah perkara yang kami akan dapat di kem latihan ini kerana barisan kejurulatihan sangat bagus untuk memastikan badan kami bersedia mengharungi perlawanan ini,” jelasnya.

Para pemain menjalani latihan pada hari kedua kem latihan pusat
Brendan juga menyatakan kem latihan berjalan dengan lancar meskipun masih belum disertai sembilan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kapten pasukan Dion Cools yang hanya melapor diri pada 15 Mac nanti.
“Ketiadaan 10 pemain utama tidak menggangu proses latihan kerana kesemua pemain yang dipanggil layak berada di sini dan bersedia untuk memberikan aksi terbaik buat Harimau Malaya,” jelasnya.
Malaysia akan menentang Oman di Muscat pada 21 Mac sebelum bertemu lawan yang sama pada 26 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam usaha mendapatkan keputusan positif untuk layak ke Piala Asia 2027 dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.