PENGENDALI Harimau Malaya, Pau Marti, mengakhiri tugasan bersama skuad kebangsaan dengan pelbagai kenangan manis dan pencapaian yang membanggakan.

Dalam sidang media terakhirnya di Stadium Nasional Bukit Jalil, beliau meluahkan rasa syukur atas pengalaman berharga sepanjang bersama skuad negara selama dua tahun.

“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan pengalaman ini. Berpindah ke negara lain bersama keluarga adalah satu langkah besar, tetapi kami menemui rakan-rakan dan hubungan yang akan diingati selamanya. Saya sangat menghargai peluang bekerja dengan pemain Malaysia,” katanya.

Pau Marti menegaskan hubungan erat dengan pemain adalah perkara yang paling bernilai dalam kariernya bersama Harimau Malaya.

Malaysia tidak bernasib baik mara ke separuh akhir edisi Piala AMEC 2024.

“Kadangkala kita menang, kadangkala kita kalah, tetapi yang paling penting adalah hubungan dan rasa hormat antara pemain dan jurulatih,” katanya dengan penuh emosi.

Beliau juga memuji potensi besar pemain Malaysia dan menyeru agar mereka terus mencabar diri untuk mencapai kejayaan lebih besar.

“Pemain Malaysia mempunyai potensi besar. Pastikan mereka terus bekerja keras dan mencapai standard yang boleh kita capai. Legasi pasukan ini harus terus berkembang. Kami berjaya melayakkan diri ke Piala Asia selepas sekian lama, dan ini adalah pencapaian yang akan diingati,” jelasnya dilantik pada Januari 2022.

Mengenai detik paling bermakna, Pau berkongsi banyak memori manis bersama pasukan.

“Kami sentiasa berkumpul selepas setiap perlawanan, menang atau kalah. Kami makan malam bersama, mengadakan pertemuan ringkas, dan saling berpelukan sebelum pulang ke rumah. Itu adalah momen yang paling bermakna,” katanya sambil tersenyum.

Penyokong Harimau Malaya masih sayangkan perjalanan skuad bola sepak kebangsaan.

Beliau turut terharu dengan sokongan luar biasa peminat Malaysia.

“Melihat lebih 30,000 penyokong di stadium, walaupun kami tidak layak ke peringkat seterusnya, adalah ganjaran terbesar untuk kami. Sokongan mereka tiada tandingan,” tambah jurulatih asal Sepanyol itu.

Berhubung rancangan masa depannya, Pau Marti menyatakan keinginan untuk meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya akan meluangkan masa bersama keluarga, terutamanya semasa Krismas. Buat masa ini, kami akan terus tinggal di Malaysia untuk beberapa bulan kerana anak-anak bersekolah di sini. Sukar untuk merancang perpindahan dalam waktu singkat,” ujarnya.

Beliau menutup sidang media dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan menzahirkan penghargaan kepada individu-individu yang memainkan peranan penting sepanjang tugasnya bersama Harimau Malaya.

Beliau menyatakan penghargaan khusus kepada Juan Torres Garrido, Cho Junho, Park Bobae, Jihyeon Park, Lim Jaehun, Lee Jeyoon, dan Oscar Balaguer Cabeza atas sokongan, dedikasi, dan kerjasama erat mereka.

“Malaysia kini menjadi pasukan kebangsaan kegemaran saya. Saya akan terus menyokong mereka dari rumah dan mendoakan yang terbaik untuk pasukan ini di masa hadapan,” katanya.

Skuad negara memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir, namun keputusan seri dengan Singapura menyebabkan pasukan hanya menamatkan saingan di tangga keempat Kumpulan A.

Meskipun skuad negara jelas menguasai perlawanan, ketumpulan jentera serangan terus menjadi faktor utama yang mengecewakan pasukan.

Keputusan ini sekali gus menyaksikan skuad negara terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala AMEC kali ini.

Sebagai rekod, Malaysia yang muncul juara edisi 2010 mara sehingga ke peringkat separuh akhir pada edisi lepas.

Dengan berakhirnya era Pau Marti, fokus kini terarah kepada pelantikan jurulatih baharu yang akan membawa Harimau Malaya ke tahap seterusnya dalam bola sepak antarabangsa.

Majulah Bola Sepak untuk Malaysia !!