Pertahanan muda negara, Adam Muqri Muhaizam tidak menyembunyikan keterujaannya untuk mengharungi cabaran Kelayakan Piala Asia B-17 2027, khususnya apabila Malaysia bakal berdepan Palestin dan India dalam saingan Kumpulan E.

Pemain itu menyifatkan peluang sekali lagi menyarung jersi kebangsaan sebagai satu penghormatan besar, selain percaya skuad kendalian Shukor Adan berada dalam keadaan bersedia untuk memulakan kempen kelayakan berkenaan.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan kesyukuran kerana diberi peluang sekali lagi untuk mewakili negara. Rakan sepasukan yang lain juga berasa sangat teruja dan tidak sabar, terutamanya bagi mereka yang pertama kali beraksi di pentas antarabangsa. Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk berjuang di sana,” katanya.

Mengulas mengenai kekuatan Harimau Malaya, Adam percaya kepantasan pemain mampu menjadi senjata utama untuk memberikan saingan kepada pasukan lawan, meskipun menyedari terdapat perbezaan dari segi fizikal.

“Pasukan kita bergantung kepada aspek kelajuan. Walaupun terdapat kekurangan dari segi fizikal, kami tidak menjadikan perkara tersebut sebagai alasan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Adam turut meletakkan pertemuan menentang Palestin dan India sebagai dua aksi yang paling dinantikannya sepanjang kempen kelayakan tersebut.

“Pasukan yang paling saya nantikan adalah sudah tentu Palestin dan India, yang merupakan satu perlawanan penting buat kami,” katanya.

Malaysia akan memulakan perjuangan menentang Palestin pada 8 November ini sebelum menguji kemampuan menentang Singapura pada 14 November, Guam (17 November) dan India (20 November).

Sebagai persediaan menghadapi cabaran Asia, skuad muda negara turut membawa pengalaman berharga selepas muncul naib juara Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 di Indonesia pada April lalu.

Dalam kejohanan itu, Malaysia mencatatkan tiga kemenangan ke atas Indonesia 1-0, Timor-Leste 2-0 dan Laos 3-0. Bagaimanapun, mereka tewas dua kali kepada Vietnam, masing-masing 0-4 pada peringkat kumpulan dan 0-3 dalam perlawanan akhir.

Secara keseluruhan, Harimau Malaya menjaringkan enam gol dan melepaskan tujuh gol sepanjang lima perlawanan kejohanan berkenaan, satu pengalaman yang diharapkan dapat membantu mereka menghadapi cabaran lebih besar di pentas kelayakan Asia.

Dengan hanya juara kumpulan memperoleh tiket automatik ke pusingan akhir di Uzbekistan pada Mei 2027, Malaysia perlu memanfaatkan setiap perlawanan bagi merealisasikan impian beraksi di kejohanan tersebut.