BEREGU lelaki nombor tiga negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong sedar persaingan Kejohanan Dunia yang bermula esok, bukanlah perjalanan mudah namun mereka hadir untuk merebut kejuaraan.
Bakal beraksi buat kali pertama di Porte de La Chapelle di Paris, akan menjadi sejarah buat mereka yang menjadi antara gandingan pilihan kali ini.
Selepas mempamerkan peningkatan konsisten sepanjang tahun ini, Kai Wun menegaskan mereka tidak lagi membawa mentaliti sekadar mencuba, sebaliknya mahu memberi cabaran hingga ke penghujung kejohanan.
“Kami berani katakan bahawa kami cukup bersedia, kami akan menempuh kempen kejohanan dengan tenang dan berjuang hingga ke titisan terakhir,” kata Kai Wun, yang mendapat ‘bye’ di pusingan pertama.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun banyak melakukan kejutan tahun ini termasuk mengatasi Aaron Soh Wooi Yik.
Pemain berusia 25 tahun itu menjelaskan, mereka mahu buktikan kematangan selepas merangkul dua kejuaraan di Masters Indonesia dan Malaysia yang berstatus Super 500 tahun ini.
Kai Wun menjelaskan, pendekatan ‘enjoy’ bukan bermaksud bermain sambil lewa, tetapi mengekalkan fokus tanpa dibebani tekanan berlebihan supaya segala hasil latihan dapat diterjemahkan di gelanggang.
“I think the enjoy is not just relaxing but it’s like focus… the mindset is like don’t give us so much pressure, then we can perform well and do what we trained during matches,” ujarnya.
Mengharungi laluan getir, berkemungkinan menentang Ben Lane-Sean Vendy dari England di pusingan kedua sebelum berpotensi bertembung dengan gandingan berpengalaman Korea, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang di pusingan ketiga, Kai Wun tidak mahu mengalah terlalu awal.