KETUA jurulatih skuad Malayan Tigress B-16, Leila Chua tetap melihat sisi positif biarpun pasukannya tewas 3-1 kepada tuan rumah, Indonesia dalam aksi Piala Mandiri Wanita B-16 semalam dengan menegaskan ia sebahagian daripada proses pembelajaran.

Menurut Leila, perlawanan tersebut memberikan pengalaman antarabangsa yang cukup penting buat pemain muda negara yang diyakini akan membantu mereka berkembang pada masa depan.

“Seperti yang saya katakan sebelum datang ke sini, ini adalah proses pembelajaran. Jadi kami ada banyak yang perlu dipelajari daripada perlawanan ini. Saya fikir pemain hanya boleh menjadi lebih baik dari sini dan sebagai satu pasukan, kami juga boleh meningkat,” jelasnya.

Beliau mengakui keputusan itu agak mengecewakan namun tetap optimis terhadap masa depan skuad muda negara sambil berharap kekalahan tersebut mampu dijadikan pengajaran menjelang saingan kelayakan Piala AFC B-17 nanti.

“Masa depan masih cerah untuk mereka. Kami dapat pengalaman beraksi di pentas antarabangsa dan walaupun keputusan sedikit mengecewakan, kami boleh memperbaikinya,” katanya.

Leila turut menambah skuad bimbingannya masih berpeluang mara ke pusingan seterusnya bergantung kepada keputusan perlawanan lain. “Mungkin kami masih ada peluang untuk ke pusingan seterusnya. Kita kena tunggu keputusan esok (hari ini ),” ujarnya.

Dengan keyakinan bahawa banyak perkara boleh dipelajari dari kejohanan ini, Leila mahu anak buahnya menggunakan pengalaman di Jakarta sebagai batu loncatan untuk menjadi lebih matang dalam persaingan di peringkat lebih tinggi.