KETUA jurulatih Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil mengambil pendekatan berbeza selepas kemenangan ke atas Selangor malam tadi apabila enggan terlalu awal memikirkan cabaran menentang Kuching City, sebaliknya meminta ruang untuk menilai keadaan pasukan terlebih dahulu.

Dengan nada berseloroh, Nidzam berkata beliau mahu ‘berehat seketika’ selepas aksi sengit itu sebelum kembali memberi fokus kepada persiapan skuad Rusa menghadapi lawan seterusnya.

“Esok latihan, saya kena periksa kecederaan pemain yang dikeluarkan, saya kena periksa juga perasaan pemain. Malam ini panjang, saya kena berbual dengan pasukan doktor dan perubatan, berapa ramai yang betul-betul cergas. Lepas itu baru kita bercerita tentang Kuching City. Beri saya peluang tidur malam ini dulu,” katanya.

Jurulatih berusia 45 tahun itu dalam masa sama menegaskan beliau tidak mahu terikat dengan sasaran berbentuk angka atau KPI, sebaliknya mahu mengangkat maruah pasukan sebagai kebanggaan rakyat Negeri Sembilan.

“Klub ada bagi saya target, tapi saya tak suka bercerita tentang KPI. Bagi saya biarlah itu kekal di dalam pasukan. Sasaran pertama saya adalah memastikan setiap kali pemain beraksi, penyokong dapat merasai semangat mereka. Saya mahu pasukan ini menjadi kebanggaan keluarga besar Negeri Sembilan,” ujarnya.

Ditanya mengenai cabaran Kuching City yang baru sahaja tewas tipis 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Nidzam enggan memandang rendah keupayaan lawan.

“Itu tak bermaksud mereka lemah hanya kerana kalah dengan JDT. Kita kena hormati mereka. Tapi seperti saya kata, yang utama adalah kita periksa dulu keadaan pasukan sendiri sebelum bercakap tentang lawan,” tambahnya.