Kredit Gambar: Peter Powell/AFP

Michael Carrick tidak menganggap permulaan Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sebagai sesuatu yang membimbangkan meskipun The Red Devils terlepas peluang meraih kemenangan ketika seri 2-2 dengan Everton.

United kelihatan berada di landasan tepat untuk membawa pulang tiga mata dari Stadium Hill Dickinson apabila dua kali mendahului pasukan tuan rumah, namun kelebihan tersebut akhirnya terlepas pada penghujung perlawanan.

Bryan Mbeumo membuka jaringan dalam tempoh seminit selepas separuh masa kedua bermula sebelum Benjamin Sesko kembali meletakkan United di depan pada minit ke-88.

Bagaimanapun, Everton bangkit menerusi gol Tyrique George dan Ainsley Maitland-Niles untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata, sekali gus menyaksikan United hanya mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan pertama.

Carrick tetap melihat ada perkembangan positif dalam permulaan kempen United, namun mengakui beberapa kelemahan perlu segera diperbaiki bagi memastikan pasukannya lebih konsisten selepas ini.

“Ia tidaklah begitu teruk. Kami hampir sahaja membawa pulang tiga mata hari ini, itulah bola sepak. Ada beberapa perkara yang boleh kami lakukan dengan lebih baik,” kata Carrick.

United sebelum ini menggunakan bajet perpindahan yang terhad untuk memperkuatkan bahagian tengah menerusi tiga pemain baharu, namun hanya Youri Tielemans diturunkan dalam kesebelasan utama bagi dua perlawanan terakhir.

Andrey Santos pula bermula dari bangku simpanan, manakala Carlos Baleba masih diketepikan akibat kecederaan, ketika barisan pertahanan United terus menunjukkan kelemahan dengan melepaskan dua gol dalam setiap tiga aksi pembukaan.

Carrick mengakui masalah bolos perlu diberikan perhatian kerana United perlu lebih kukuh sekiranya mahu mengubah peluang yang dicipta kepada kemenangan.

“Sudah tentu kami tidak boleh mengabaikannya. Kami perlu mengurangkan bolos untuk memberi peluang yang lebih baik kepada kami memenangi perlawanan, tetapi kami pasti akan melihat perkara itu dan terus memperbaiki diri,” katanya.

Cabaran lebih getir menanti United pada aksi seterusnya apabila mereka bakal berdepan Manchester City di Old Trafford hujung minggu depan, dengan Carrick perlu mencari penyelesaian segera terhadap kelemahan pertahanan selepas Everton menghukum pasukannya menerusi dua rembatan jarak jauh.