Kredit Gambar: Paul Ellis/AFP
Badan Pengadil Profesional (Pro Ref) mengakui berlaku kesilapan penilaian oleh Video Assistant Referee (VAR) ketika mengesahkan gol Erling Haaland yang membantu Manchester City menewaskan Manchester United 1-0 dalam aksi derbi Manchester.
Gol tunggal perlawanan itu terhasil pada minit ke-60 selepas Haaland menyudahkan hantaran lintang Josko Gvardiol, namun jaringan berkenaan pada awalnya dibatalkan kerana penyerang Norway tersebut berada dalam kedudukan ofsaid.
VAR kemudian mengubah keputusan berkenaan selepas mendapati pemain City, Enzo Fernandez yang turut berada dalam kedudukan ofsaid tidak menyentuh bola ketika cuba mendapatkan hantaran tersebut.
Keputusan itu membolehkan gol Haaland disahkan dan penyerang berkenaan mencatat jaringan kesembilannya dalam aksi derbi Manchester di peringkat liga.
Pusat Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini menjelaskan VAR mendapati Haaland berada dalam kedudukan onsaid, manakala Fernandez dianggap tidak memainkan bola walaupun berada dalam posisi ofsaid.
Bagaimanapun, Pro Ref kemudian mengakui VAR gagal mengenal pasti kemungkinan impak kedudukan Fernandez terhadap situasi tersebut dan sepatutnya mencadangkan pengadil Michael Oliver melakukan semakan di padang.
“Pihak kami sudah menghubungi Manchester United malam ini bagi mengakui apa yang dinilai sebagai kesilapan penilaian. Semakan terhadap insiden itu akan dijalankan,” menurut kenyataan Pro Ref.
Keputusan berkenaan turut mengundang rasa tidak puas hati daripada kem United, dengan pengurus Michael Carrick menyifatkan pengesahan gol tersebut sebagai sesuatu yang membimbangkan.
Lisandro Martinez yang terlibat secara langsung dalam situasi berkenaan pula mendakwa pergerakannya terjejas akibat kehadiran Fernandez, sekali gus membuka ruang buat Haaland berada dalam keadaan bebas di belakangnya.
“Saya pergi ke arahnya kerana dia berada tepat di hadapan saya. Sebab itu Haaland bebas tanpa kawalan di belakang,” kata Martinez kepada Sky Sports.
Martinez turut menyifatkan kesilapan melibatkan beberapa pegawai perlawanan di pentas EPL sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima, sambil menegaskan Manchester United terpaksa menerima keputusan tersebut sebagai satu ketidakadilan selepas gagal mengutip mata dalam derbi berkenaan.