PEMBELIAN Noni Madueke daripada PSV Eindhoven kini lengkap bagi membolehkan Chelsea menggunakan bintang muda itu menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Perbelanjaan besar Konsortium Todd Boehly kini sudah membelanjakan lebih £400 juta (RM2.12 bilion) bagi mendapatkan pemain baharu semasa musim pertama mereka mengendalikan kelab itu.

Pemain sayap Bawah 21 England, Madueke menandatangani kontrak selama tujuh setengah tahun di Stamford Bridge selepas perjanjian bernilai £35 juta (RM185.76 juta) selesai, seperti yang dilaporkan.

Noni Madueke sah milik Chelsea -Pic ProShot

 

“Perjanjian dengan salah satu kelab terbaik di dunia iaitu Chelsea, sememangnya menggembirakan,” kata Madueke, yang sebelum ini menjadi prospek pemain muda di Crystal Palace dan Tottenham.

“Saya dapat kembali ke England dan bermain di Liga Perdana, menjadi impian saya dan keluarga. Saya tidak sabar untuk bermula.

“Sangat teruja dengan apa yang berlaku pada masa depan, visi pemilik untuk masa depan dan berada di kelab seperti ini serta menang di peringkat tertinggi.”

Madueke menjaringkan 20 gol dalam 80 penampilan untuk PSV sejak menyertai gergasi Belanda itu pada 2018.

Graham Potter antara pengurus EPL yang bijak berbelanja. -Pix Forbes

 

Namun pemain berusia 20 tahun itu bakal berdepan saingan sengit untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama tetap bersama The Blues.

Dalam pada itu, pemain antarabangsa Ukraine, Mykhailo Mudryk bakal membuat penampilan sulung menentang Liverpool di Anfield malam ini, selepas berpindah dari Shakhtar Donetsk membabitkan perjanjian yang boleh meningkat kepada €100 (RM465.31 juta).

Graham Potter juga memiliki banyak pilihan membabitkan Raheem Sterling, Christian Pulisic, Hakim Ziyech dan Joao Felix. -Agensi