PENGERUSI Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia, Lee Chong Wei menjelaskan keputusan memecahkan gandingan beregu lelaki utama negara adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang memburu pingat emas pertama Malaysia di Olimpik Los Angeles 2028.
Menurutnya, langkah membentuk gandingan baharu dibuat hasil perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky dan ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi bagi mengenal pasti kombinasi terbaik sebelum bermulanya kempen kelayakan Olimpik.
“Kita sudah bincang dengan jurulatih Rexy dan Herry. Kita kena berani tukar pasangan.
“Kita akan uji beberapa gandingan selepas Terbuka Indonesia, mungkin di Jepun, Korea, Denmark dan Perancis. Jurulatih akan buat keputusan siapa sesuai dengan siapa,” katanya.
Berdasarkan senarai penyertaan Terbuka Jepun 2026, Aaron Chia akan digandingkan bersama Tee Kai Wun manakala Soh Wooi Yik bergandingan dengan Man Wei Chong.
Chong Wei menjelaskan pemisahan itu hanya bersifat ujian jangka panjang kerana Aaron-Wooi Yik masih akan kembali bergandingan untuk Kejohanan Dunia dan Sukan Asia 2026 yang menggunakan ranking pasangan asal.
“Keputusan akhir saya serahkan kepada Rexy dan Herry kerana mereka yang melihat pemain setiap hari dan lebih tahu prestasi, keadaan semasa dan kombinasi mana yang paling sesuai. Kalau pasangan ini bagus, mungkin ia akan kekal sehingga Olimpik,” katanya.