ADAKAH era gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal berakhir?
Persoalan itu mula menjadi perbualan hangat selepas senarai pendaftaran awal Terbuka Jepun 2026 yang dikeluarkan hari ini memperlihatkan kedua-dua pemain itu disenaraikan bersama pasangan berbeza.
Berdasarkan senarai berkenaan, Wooi Yik didaftarkan bergandingan dengan Man Wei Chong manakala Aaron dipasangkan bersama Tee Kai Wun bagi kejohanan yang berlangsung dari 14 hingga 19 Julai depan.
Perkembangan itu mencetuskan tanda tanya sama ada perubahan tersebut hanya bersifat sementara atau membabitkan rombakan besar dalam kem beregu lelaki negara.
Jika benar, ia bakal menyaksikan berakhirnya salah satu gandingan paling berjaya dalam sejarah badminton Malaysia yang pernah menjulang gelaran dunia serta meraih pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Persatuan Badminton Malaysia berhubung status sebenar pendaftaran itu, sekali gus menyebabkan spekulasi terus berlegar mengenai masa depan gandingan Aaron-Wooi Yik.