PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao menafikan dakwaan mendapat laluan mudah pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2026 dengan menegaskan kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 tidak pernah mengenal istilah lawan senang.

Pemain ranking ke-28 dunia itu mengakui setiap perlawanan di Axiata Arena, Bukit Jalil menuntut fokus dan intensiti maksimum tanpa ruang untuk leka walaupun sedikit.

Jun Hao dijadual membuka tirai kempen esok menentang pemain muda China, Wang Zheng Xing dalam pertemuan sulung yang disifatkannya sebagai ujian awal yang berbahaya.

Menurut bekas juara remaja Asia itu, status Super 1000 memastikan setiap pemain hadir dengan kekuatan tersendiri dan sebarang rasa selesa mampu mengundang padah.

“Tahun lalu saya tersingkir di pusingan pertama pada penampilan sulung di Terbuka Malaysia. Tahun ini, sasaran saya jelas, melepasi pusingan pertama dan melangkah lebih jauh,” katanya.

Beliau menegaskan pendekatan satu perlawanan pada satu masa terus menjadi keutamaan meskipun masih dalam proses memperkemas prestasi selepas meraih pingat gangsa Sukan SEA Thailand 2025.

Sebagai rekod, kali terakhir wakil perseorangan lelaki Malaysia beraksi di final Terbuka Malaysia adalah menerusi legenda negara, Datuk Seri Lee Chong Wei yang muncul juara pada edisi 2018.