ERLING Haaland membintangi kemenangan Manchester City ke atas Leicester City menerusi dua golnya. Ini menjadikan Haaland menyamai rekod gol Liga Perdana Inggeris (EPL) milik Mohamed Salah.

Haaland memulakan serangan ketika City melayan kunjungan Leicester di Stadium Etihad, awal pagi Sabtu. Tidak mengambil masa lama, Haaland membuka tirai golnya pada minit ke-13.

Itu menjadikan Haaland memecahkan rekod Kevin Phillips sebagai pemain pertama dengan jaringan terbanyak dalam EPL iaitu 30 gol pada musim 2000/2001. Selepas 12 minit, Haaland sekali lagi memahat namanya di papan skor selepas menyambar bola melalui Kevin de Bruyne.

Gol ini kemudian meletakkan Haaland setanding dengan Salah, yang memegang rekod gol terbanyak dijaringkan sepanjang musim EPL sejak 2017/2018, iaitu 32 gol. Ia adalah rekod EPL dengan jumlah 38 perlawanan.

Kini, dengan City masih berbaki sembilan perlawanan, Haaland berpeluang melepasi rekod 34 gol Andrew Cole semasa musim Liga Perdana (1993/1994) dan Alan Shearer (1994/1995), yang dilakukan dalam 42 perlawanan.

Haaland kini lebih padu di posisi teratas penjaring terbanyak dengan kelebihan sembilan gol berbanding pesaing terdekatnya Harry Kane. Malangnya Haaland tidak dapat menjaringkan hatrik kerana dia dikeluarkan pada separuh masa pertama. City akhirnya menewaskan Leicester dengan jaringan 3-1 selepas John Stones menjaringkan gol pembuka dan Kelechi Iheanacho menjaringkan gol penutup dalam perlawanan ini.

Dengan nisbah gol yang boleh dikatakan tidak munasabah, Erling Haaland masih boleh memecahkan rekod demi rekod sebelum musim 2022/2023 berakhir. Dia sahaja telah membuat rekod sebagai pemain EPL paling produktif sepanjang musim, melepasi 47 gol dalam 40 perlawanan!

Persoalan timbul, berapa lagi ledakan gol yang akan dibuat oleh penyerang dari Norway itu?