PEMENANG Anugerah Olahragawan Wilayah Persekutuan tahun lalu, Muhammad Erry Hidayat mendedahkan dirinya mempunyai pekerjaan sampingan untuk mengisi masa lapang.

Atlet angkat berat negara yang sedang mula konsisten menjalani latihan angkat berat pada musim ini turut menyifatkan bahawa kerja sambilan sebagai penghantar makanan ‘Grab Food’ tidak menjejaskan karier dan momentumnya sebagai seorang atlet.

Muhammad Erry Hidayat konsisten menjalani latihan di Pusat Gimnasium, Majlis Sukan Negara.

Hal ini kerana, Erry tetap bersedia melunaskan setiap tanggungjawabnya sebagai seorang badang negara dan tidak pernah ketinggalan sebarang sesi latihan.

Anak kepada bekas jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon turut berkongsi bahawa idea untuk memulakan pekerjaan ‘Grab Food’ ini timbul sejak Malaysia dilanda wabak Covid-19.

“Sejak 2019 iaitu zaman wabak Covid-19 melanda, saya merasakan bahawa saya perlu lakukan sesuatu pekerjaan selain menjadi seorang atlet.

“Saya memanfaatkan waktu cuti saya atau pun ketika tidak mempunyai sebarang latihan dengan terus menghidupkan motor dan membuat penghantaran ‘Grab Food’.

Erry bersama ayahnya yang juga bekas jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon.

“Ianya tidak sedikit pun menjejaskan kualiti latihan atau prestasi saya sebagai seorang atlet kerana saya tidak pernah ‘miss’ sebarang latihan dan kekal patuh dengan setiap arahan jurulatih saya,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, Erry yang kini berusia 26 tahun juga merupakan seorang penuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Jelas boleh digambarkan bahawa Erry seorang yang ‘multitask’ dan berjaya membuktikan kewibawaan sebagai seorang atlet kerana telah menonjolkan prestasi memberangsangkan dalam arena angkat berat meskipun mempunyai amanah yang lain.

Erry mengenakan pakaian kebangsaan di Acara Pembukaan Sukan Komanwel 2022

Untuk rekod, antara kejayaan cemerlang yang pernah dirangkul adalah memenangi pingat perak pada Kejohanan Angkat Berat Asia 2021 dan pingat perak Sukan Komanwel 2022 Birmingham.

Erry turut meraih pingat gangsa Sukan SEA 2021 di Vietnam dan memperbaharui rekod kebangsaan dengan angkatan 310 kilogram (kg) bagi kategori 73kg.