PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menyatakan Kongres Tahunan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) merupakan antara nadi yang cukup penting dalam memajukan bola sepak Malaysia khususnya dari sudut pembangunan jurulatih.
“Saya berasa teruja untuk hadir ke Kongres PJBM hari ini kerana PJBM adalah Ahli Gabungan FAM yang pertama saya kunjungi sejak dipilih sebagai Presiden FAM seminggu yang lalu (15 Februari 2025).
“Bagi memperkasa jurulatih tempatan, FAM dengan kerjasama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sedia mengadakan lebih banyak seminar serta ‘refresher course‘ bagi memberi ilmu terkini dalam bidang kejurulatihan kepada para jurulatih di negara ini.
“Antara tawaran lain yang turut dalam perancangan FAM termasuklah menghantar jurulatih terpilih bagi program ‘club attachment’ di luar negara, itu juga dengan kerjasama FIFA, AFC dan pihak kelab.
“Bukan setakat itu sahaja, FAM sedia memberikan peluang pekerjaan dan elaun yang setimpal mengikut pengalaman dan kelayakan lesen untuk jurulatih di peringkat akar umbi seperti di Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan juga di persatuan bola sepak (FA) negeri,” katanya selepas merasmikan Kongres Tahunan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) 2024-2025 di Hotel Sentral, Melaka pada Sabtu.
Kongres tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PJBM, Mohd Asri Ninggal; Naib Presiden PJBM, Rezal Zambery Yahya; Naib Presiden PJBM yang juga Setiausaha Kehormat PJBM, ACP (B) Md Dali Wahid serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Exco FAM, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah.
FOTO : FAM