DECLAN Lambert akui bahawa dirinya dikelilingi pemain-pemain yang lebih profesional untuk menjadikan persaingan lebih sengit untuk dirinya merebut posisi dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan.

Tonggak pertahanan negara itu dipanggil semula oleh skuad kebangsaan setelah kali terakhirnya bersama Harimau Malaya adalah pada tahun 2022, iaitu dalam Piala Raja Thailand.

Jadi, kemunculannya setelah dua tahun menyepi dari skuad kebangsaan disifatkan sebagai satu detik kegembiraan walaupun dia sedar akan tahap persaingan yang tinggi diberikan oleh pemain-pemain lama dan baharu yang dipanggil ke kem latihan pusat menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026.

Declan mengikuti sesi latihan hari kedua skuad Harimau Malaya.

“Saya gembira dapat kembali bersama Harimau Malaya, dua tahun adalah tempoh yang panjang saya tiada dalam pasukan. Setakat ini, persiapan sangat baik dan ada beberapa muka baharu selain pemain yang sedia ada sebelumnya.

“Jadi saya sedar akan saingan untuk merebut tempat dalam pasukan. Tidak dinafikan pemain lain sangat bagus dan saling memberi persaingan antara satu sama lain dan saya hanya berharap agar saya dapat menpamerkan aksi terbaik di hadapan jurulatih,” ujar Declan ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Declan turut mengulas mengenai tahap cabaran untuk Malaysia bertemu Kyrgyztan pada aksi yang akan berlangsung tidak lama lagi ini.

Skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan di Padang Wisma FAM.

Menurutnya, pihak lawan pasti sudah mengintai kekurangan yang dimiliki oleh pasukan namun kadang kala, turun sebagai pasukan bukan pilihan ini mampu memberi kelebihan buat Malaysia sendiri.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan beraksi menentang Republik Kyrgyz dalam aksi perlawanan kelima Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 6 Jun di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek dan disusuli perlawanan terakhir bertemu Chinese Taipei di gelanggang sendiri, 11 Jun 2024.