PASUKAN Harimau Malaya menerima perubahan saat akhir di kem latihan pusat apabila penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi menggantikan Jordan Mintah yang terpaksa diketepikan atas faktor kesihatan.

Perkembangan itu disahkan secara rasmi oleh Malaysia National Team, sekali gus membuka lembaran baharu buat Luqman untuk kembali membuktikan nilainya di pentas antarabangsa.

Bagi Luqman, pemanggilan ini hadir selepas tempoh yang agak panjang sejak kali terakhir beliau menyarung jersi negara pada aksi persahabatan menentang Singapura pada 2022.

Penyerang berusia 22 tahun itu memiliki 9 kaps bersama skuad senior, dengan satu bantuan gol pernah direkodkan ketika menewaskan Laos pada 2021.

Namun, momentum semasanya bersama Negeri Sembilan memberi isyarat jelas bahawa beliau bersedia kembali bersaing – terutama selepas berjaya menjaringkan gol ketika menewaskan Timor Leste baru-baru ini.

“Kehadiran Luqman Hakim Shamsudin adalah bagi menggantikan Jordan Mintah yang perlu meninggalkan kem atas faktor kesihatan,” jelas kenyataan rasmi pasukan.

Ketiadaan Mintah sudah pasti memberi sedikit perubahan kepada perancangan serangan Peter Cklamovski, namun pemilihan Luqman dilihat selari dengan identiti permainan agresif dan tekanan tinggi yang mahu diterapkan jurulatih itu.

Luqman dijangka bersaing rapat dengan Paulo Josue bagi mengisi slot serangan utama menjelang aksi menentang Nepal.

Malaysia bakal turun dalam perlawanan penting Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 November, dengan sepak mula jam 9 malam.