Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan senarai calon yang akan bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi melengkapkan baki penggal 2025-2029.
Pemilihan berkenaan akan berlangsung pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 yang dijadualkan pada 17 September 2026, dengan beberapa jawatan utama menyaksikan persaingan lebih daripada seorang calon.
Bagi jawatan Presiden, dua nama disahkan bertanding iaitu Dato’ Ab Ghani Bin Hassan dan Dato’ Sri Dr Shahril Bin Mokhtar.
Persaingan bagi Naib Presiden 1 pula membabitkan tiga calon, Datuk Seri Haji Rosmadi Bin Haji Ismail, Mohd Firdaus Bin Mohamed dan Syed Yazid Bin Syed Omar, manakala jawatan Naib Presiden 3 menyaksikan Datuk Saaran a/l Nadarajah dan Afizal Bin Abu Othman berentap.
Sementara itu, sebanyak tiga jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi kategori FA – Persatuan Bola Sepak Negeri/PB PDRM/PB ATM/PBMM/MISC/MCFA dipertandingkan oleh tujuh calon.
Mereka terdiri daripada Mohd Azizudin Bin Mohd Shariff, Dato’ Mohd Azhar Bin Jamaluddin, Datuk Hj Mohd Hisamudin Bin Yahaya, Tang Chee Hong, Datuk Ramlan Bin Hj Shahean @ Askolani, Datuk Alijus @Mohd Ali Bin Sipil serta Mohd Faizul Bin Mohd Noor.
Bagi kategori FC – Kelab MFL/AFL/LWN/MPFL, dua jawatan akan diperebutkan lima calon iaitu Datuk Kamarudin Bin Hj Hassan, Datuk Syed Mahadi Bin Syed Hassan, Datuk Dr. Sugumaran a/l Parthasarathy, Dr Johan Bin Kamal Hamidon dan Muhammad Faliq Bin Firdaus Muhammad Rom.
Dua lagi kategori turut menyaksikan persaingan. Jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Profesional yang diperuntukkan satu kerusi menyaksikan Dato’ Zainal Abidin Bin Hassan dan Azlan Bin Johar bertanding, manakala kategori Wanita menyaksikan Dato’ Suraya Binti Yaacob dan Dr Siti Faidul Maisarah Binti Abdullah merebut satu jawatan.
FAM dalam kenyataannya memaklumkan semua pencalonan yang diterima telah melalui proses semakan dan pengesahan berdasarkan Statut FAM serta peraturan dan tatacara pemilihan yang ditetapkan. Proses pemilihan berkenaan akan menentukan barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi melengkapkan baki penggal 2025-2029.