PERSAINGAN merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru selepas badan induk bola sepak negara itu mengesahkan pencalonan Dato’ Ab Ghani Hassan dan Dato’ Sri Dr Shahril Mokhtar.

Kedua-dua calon tersebut akan bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi melengkapkan baki penggal 2025-2029 pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026, 17 September ini.

Ab Ghani yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan dicabar Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Shahril Mokhtar, dalam perebutan kerusi paling berpengaruh dalam badan induk bola sepak negara itu.

Perkembangan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan Tan Sri Hamidin Mohd Amin kembali mempertahankan kedudukan berkenaan selepas namanya sebelum ini dikaitkan sebagai antara calon Presiden FAM.

Bagaimanapun, Hamidin dilaporkan membuat keputusan untuk menarik diri pada saat akhir, sekali gus membuka laluan kepada Ab Ghani dan Shahril untuk bertarung secara terus bagi jawatan tersebut.

Hamidin sebelum ini menerajui FAM selama dua penggal bermula 2018 sehingga 2025, sebelum kepimpinan badan berkenaan memasuki fasa baharu bagi baki penggal 2025-2029.

Pemilihan kali ini bukan sahaja tertumpu kepada kerusi Presiden apabila beberapa jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM turut menyaksikan pertandingan antara beberapa calon.

FAM sebelum ini memaklumkan semua pencalonan telah melalui proses semakan dan pengesahan berdasarkan Statut FAM serta peraturan dan tatacara pemilihan yang ditetapkan.

Dengan hanya dua nama disahkan bagi kerusi Presiden, perhatian kini terarah kepada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 untuk menentukan siapa antara Ab Ghani dan Shahril yang akan menerajui badan induk bola sepak negara bagi baki penggal 2025-2029.