KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) dengan rasmi mengumumkan penyerahan amanah kepada tiga peneraju utama untuk mengurus kejurulatihan skuad Bunga Raya tahun 2024.
Mohd Farid Syazwan yang berusia 39 tahun kembali menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih Bunga Raya 15s untuk menyokong persediaan pasukan menghadapi Kejohanan Ragbi Asia 2024.
Kejohanan berprestij tersebut bakal berlangsung pada 1 hingga 22 Jun, serta menyaksikan Emiriah Arab Bersatu (UAE), juara divisyen pertama tahun 2023, bersaing dalam divisyen perdana bersama Malaysia, Korea, dan Hong Kong.

Tanggal 1 Mac, KRM umum kekalkan khidmat jurulatih sebelum ini.
Bunga Raya 15s akan memulakan cabaran mereka menentang Korea pada 1 Jun di Incheon, Seoul, diikuti perlawanan dengan Hong Kong pada 8 Jun di Stadium Ragbi UPM, Kuala Lumpur, dan pertarungan akhir pada 22 Jun bertemu UAE di Dubai, UAE.
Sementara itu, KRM turut mendedahkan bahawa Nik Safuan Ismade Nik Man yang berjaya memacu pasukan Bunga Raya 7s lelaki meraih tempat ketiga di siri Ragbi Asia 2023, telah kekal di posisi ketua jurulatih untuk terus membimbing dan meningkatkan prestasi pasukan ini.
Seterusnya, Faiz Samsukhidir yang mengendali pasukan Bunga Raya 7s wanita berada di tempat keenam keseluruhan pada edisi 2023, juga akan terus memegang jawatan ketua jurulatih untuk musim ini.

Kejohanan Ragbi Asia difahamkan bakal bermula pada Jun hadapan.
Pasukan Bunga Raya 7s lelaki dan wanita akan menyertai Kejohanan SEA Sevens pada 2 dan 3 Mei di Singapura, sebelum menyambut Siri Ragbi Asia 2024 yang berlangsung dari bulan September hingga November.
Dengan pengumuman pelantikan ini, KRM berharap skuad yang akan dibentuk dapat mencapai kejayaan positif dan menjadi pesaing yang lebih handal dalam mengharungi kejohanan peringkat tertinggi.