PELUMBA lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir mendapat signal positif daripada Ketua Kontinjen Olimpik Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin susulan permintaannya untuk mendapatkan kelengkapan berbasikal yang baharu menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

Aisyah yang merupakan atlet berbasikal lebuh raya pertama yang berjaya melangkah ke Olimpik pastinya akan mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak Olimpik Malaysia dalam mendukung usaha anak muda itu.

Menurut pelumba dari Terengganu itu, keperluan peralatan berbasikal adalah salah satu perkara yang memainkan peranan penting dalam memberi cabaran besar buat saingan-saingan terkemuka dunia di Paris nanti.

“Saya mendapat jawapan positif daripada Datuk Hamidin mengenai perkara ini, peluang juga kelihatan cerah.

Aisyah tekad mempamerkan persaingan cemerlang di Olimpik demi negara.

“Keperluan berbasikal ini memang penting kerana kita juga mahu bersaing dengan ‘top rider’ yang sudah tentu menggunakan peralatan berbasikal yang terbaik. Jika kita dibawah mereka, macam mana kita ingin berlawan dengan mereka? Di situ juga memainkan peranan penting walaupun kita nampak ianya seperti perkara kecil.

“Basikal yang saya gunakan ketika ini juga sudah lebih kurang dua tahun. Jika diizinkan, mungkin sebelum saya ke Belgium untuk mendapat kelengkapan yang baru,” ujar Aisyah kepada pihak media di Velodrome Nilai.

Dalam masa yang sama, Aisyah turut mengakui bahawa lebuh raya yang bakal digunakan di pentas Olimpik nanti juga agak mencabar buatnya.

Perkara ini didapati setelah dirinya merujuk kepada graf laluan perlumbaan di Paris yang bermula pada Julai kelak.

Pelumba dari Terengganu akui laluan di Paris agak mencabar.

Oleh itu, Aisyah mencatur strateginya dalam melakukan persiapan yang lebih rapi selain mengelak daripada tekanan yang mula dirasainya kini.

Pelumba itu terus berazam untuk melakukan persembahan terbaik kerana temasya sukan Olimpik adalah penampilan sulungnya selain antara temasya sukan terbesar di dunia yang pernah disertai sepanjang kariernya bermula.

Untuk rekod, Aisyah pernah membolot tujuh emas di Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 selain meraih dua perak di Sukan Sea Hanoi dan dua gangsa di Sukan Sea Kemboja.