PEMAIN bahagian serangan skuad Floorball Wanita Kebangsaan, NurFarah Syahira Md Yusof mensasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa untuk kontinjen Floorball di Temasya Sukan Sea Kemboja yang bakal berlangsung kurang tiga minggu lagi.
Floorball adalah disiplin sukan berkumpulan dalam dewan baharu yang dipertandingkan buat kali ketiga di Sukan Sea selepas membuat kemunculan sulung pada Temasya Singapura 2015 dan Temasya Filipina pada 2019
Farah yang mewakili negara buat kali kedua dalam Sukan Sea sejak melakukan debut ketika Sukan Sea 2019 di Manila merasa cukup bangga apabila sekali lagi terpilih dalam skuad kebangsaan dan akan memberikan segala-galanya ketika beraksi dan juga ketika persediaan untuk menghadapi temasya dwitahunan itu.
Dia yang mula menceburkan diri dalam sukan Floorball ini pada 2015 tidak menganggap bulan Ramadan dan Syawal sebagai halangan buatnya untuk berlatih sebaliknya meluangkan sejam setiap hari untuk melakukan latihan selain menjaga pemakanan terutama pada hari pertama dan kedua Aidilfitri.
“Untuk temasya kali ini, kami mensasarkan untuk mendapat pingat gangsa sekurang-kurangnya kerana cabaran dari negara serantau sangat hebat terutama dari Singapura dan Filipina selain Thailand yang kini semakin meningkat naik.
“Rutin latihan masih berjalan seperti biasa dengan sejam latihan dengan 30 minit di atas treadmill setiap hari termasuk ketika Hari Raya selain saya perlu kurangkan makanan berminyak dan menjaga pengambilan kalori walaupun ianya cabaran yang cukup sukar kerana saya menggemari ketupat palas dan lontong terutamanya,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Farah yang menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Kuala Lumpur dan Klang akan kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dengan rutin latihan akan kembali kepada normal selepas berakhir bulan Ramadan.
Sebagai rekod, pencapaian skuad Floorball Wanita di Sukan Sea Filipina 2019 adalah pingat gangsa dengan Farah, pemain kelab Putrajaya Vixens itu berjaya menjaringkan gol tunggal untuk menewaskan tuan rumah 1-0 pada aksi penentuan pingat gangsa.