HASRAT Liverpool untuk mendapatkan kapten Crystal Palace, Marc Guéhi, dengan nilai perpindahan sekitar £35 juta (RM 200 juta) tidak kesampaian awal pagi tadi selepas kelab London itu menarik diri pada saat akhir jendela perpindahan.

Difahamkan, kedua-dua kelab telah mencapai kata sepakat dan pemain berusia 24 tahun itu juga telah menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai persediaan pemindahan dengan borang perjanjian (deal sheet) sempat dihantar sebelum had masa ditutup pada jam 7 malam, 1 September 2025.

Bagaimanapun, Palace membuat keputusan mengejut dengan membatalkan perpindahan tersebut ekoran gagal mencari pengganti yang dirasakan cukup berkualiti.

Sasaran utama mereka ialah Igor Julio dari Brighton namun pemain berusia 27 tahun itu kini sah menyertai West Ham.

Pengurus Palace, Oliver Glasner difahamkan sangat tegas mengenai kepentingan Guéhi dalam pasukannya dan enggan melepaskan pemain itu kecuali mereka berjaya mendapatkan pengganti pertahanan tengah baharu yang setaraf.

Malah, menurut beberapa sumber, Glasner pernah memberi amaran akan meletakkan jawatan sekiranya kelab meneruskan penjualan Guéhi tanpa langkah pengukuhan skuad.

Keputusan ini sekaligus mengekalkan Guéhi di Selhurst Park sekurang-kurangnya sehingga jendela perpindahan berikutnya, sementara Liverpool terpaksa menutup kempen perpindahan mereka tanpa sebarang pertambahan besar dalam barisan pertahanan.

foto: SportsMole