PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan akan memberikan ganjaran khas kepada beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang muncul juara dunia serta Pearly Tan-M Thinaah yang meraih naib juara di Paris.
Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam berkata, jumlah ganjaran hanya akan diumumkan selepas Presiden, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pulang daripada urusan rasmi luar negara.
“Sudah tentu ada ganjaran, cuma jumlahnya akan ditentukan dan diumumkan oleh presiden selepas perbincangan,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau menjelaskan BAM sememangnya mempunyai tradisi memberikan bonus kepada pemain yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Kejayaan Tang Jie-Ee Wei menamatkan penantian 47 tahun untuk emas beregu campuran serta perak bersejarah Pearly-Thinaah dalam beregu wanita wajar diraikan seluruh negara,” ujarnya.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai detik manis buat badminton Malaysia kerana buat kali pertama beregu campuran berjaya bergelar juara dunia.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan kedua-dua pasangan itu bakal menerima insentif SHAKAM iaitu RM20,000 bagi emas dan RM10,000 untuk perak.
Untuk rekod, pada 2022, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerima lebih RM500,000 selepas bergelar juara dunia dengan BAM menyumbang RM300,000 selain tajaan 100PLUS, Yonex dan insentif SHAKAM.