PEMANGKU Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, hadir memeriahkan program ‘Semua Turun Padang’ di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Seramai 175 peserta terdiri daripada skuad wanita Bawah 20 (B20), pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), pasukan amputee serta B8 Kepong FC yang menjuarai Piala Iber 2025 menyertai program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama FAM itu.

Shahrul Saad dan Paulo Josue bersama pemain-pemain cilik yang menghadiri program ‘Semua Turun Padang’ semalam.
Program ‘Semua Turun Padang! Wanita, Junior dan Amputee Bersama Harimau Malaya’ hasil idea daripada Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh serta kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Para peserta dapat bertemu ramah dengan barisan kejurulatihan dan pemain-pemain Harimau Malaya seperti Cklamovski, Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Dion Cools, Jon Irazabal dan bintang baharu Harimau Malaya, Joao Figueiredo.
Mereka merasa beruntung dapat meluangkan masa bersama skuad Harimau Malaya sebelum aksi menentang Singapura dalam perlawanan persahabatan yang akan datang.