BEKAS penerjun kebangsaan, Hanis Nazirul Jayasurya berasa teraniaya, apabila digugurkan tanpa sebarang notis.

Menurut Hanis, penggugurannya itu dibuat secara lisan, apabila diberitahu secara lisan.

“Saya tidak lagi berada dalam skuad kebangsaan… dan sekarang fokus kepada bidang kejurulatihan,” kata Hanis, berkongsi perkembangan dirinya sekarang, sekali gus membuka cerita betapa atlet terjun yang berada di bawah program podium ini, tidak lagi bergelar atlet.

Hanis Nazirul tinggalkan sukan dunia atlet.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran IDEAL Rehab Lab, di Subang Jaya.

Menurutnya, dia percaya digugurkan akibat kemerosotan prestasi selepas tiada pencapaian dan tempoh tiga tahun terakhir.

“Ada juga isu latihan dan dengan jurulatih… ia menyebabkan saya rasa ‘berkarat’ dan tidak boleh pergi jauh lagi.

“Kejohanan terakhir saya sertai adalah Terbuka Malaysia tahun lalu dan memenangi pingat perak terjun 3 meter seirama lelaki, bersama Syafiq Puteh.

Hanis Nazirul, 24, mengakui, kontraknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sepatutnya tamat pada penghujung 2025.

Mengambil sisi positif, anak jati Kuala Lumpur itu, perlu mencari pekerjaan demi kelangsungan hidup dan dia bersyukur, dipilih sebagai jurulatih terjun untuk pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau memulakan tugas sebagai jurulatih KL pada awal Januari tahun ini dan bersemangat mahu mencurahkan ilmu kepada atlet pembangunan berusia 7 hingga 14 tahun.

Pengasas IDEAL Rehab Lab, Dr Faizi Rosli.

Dalam pada itu, IDEAL Rehab Lab di Taipan Subang Jaya, adalah cawangan ketiga namun menjadi yang pertama menawarkan fisioterapi sukan berteknologi tinggi.

Pengasasnya, Dr Faizi Rosli berkata, pelancaran pusat fisioterapi sukan berteknologi tinggi setaraf milik pasukan JDT itu, dijamin mampu dimanfaatkan komuniti.

“Pembukaan cawangan ini adalah hasil 10 tahun pengalaman kami dalam industri kesihatan dan kecergasan merangkumi pemeriksaan perubatan, senaman klinikal, fisioterapi serta lawatan dan rawatan di rumah.

“Kami mengenalpasti keperluan perkhidmatan pemulihan sukan yang lebih khusus. Jadi kami perkenalkan IDEAL Rehab Lab sebagai kesinambungan komitmen kami, dalam penjagaan kesihatan terbaik kepada masyarakat,” kata Faizi.