MELAKA United (MUFC) hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa pemain import mereka, Ifedayo Olesegun masih mempunyai kontrak bersama MUFC dan kesal dengan berita negatif yang disebarkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.
Heboh di media sosial apabila banyak media melaporkan bahawa punca Ifedayo dikatakan tidak turun beraksi untuk perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini adalah kerana dia berstatus pinjaman daripada kelab tersebut.
Atas sebab itu Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Justin Lim mengeluarkan kenyataan rasmi yang dimuat naik oleh laman sosial rasmi kelab untuk menjawab persoalan ini.
“Kami ingin menegaskan bahawa Ifedayo adalah pemain yang berkontrak penuh bersama Melaka United FC sejak awal musim ini dan bukan berstatus pinjaman daripada JDT seperti dua lagi pemain iaitu Fadhli Shas dan Syazwan Andik.
“Pihak Melaka United FC kesal dengan laporan TIDAK BENAR yang telah tular sehingga memberikan impak negatif kepada imej kelab menjelang aksi penting Liga Super Malaysia 2022 menentang JDT di Stadium Hang Jebat, malam ini.
“Secara peribadi, saya juga kesal dengan beberapa laporan negatif, tidak benar serta tiada bukti kukuh yang sering dilemparkan kepada kelab bola sepak Melaka United. Laporan-laporan seperti ini pastinya memberi persepsi buruk kepada Melaka United secara keseluruhannya,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.
Kini jelas bahawa bekas penjaring terbanyak Liga Super itu masih kekal milik Melaka United meskipun tidak dapat beraksi pada pertemuan penting malam ini.
Melaka United akan berhadapan saingan pendahulu liga yang sedang dalam prestasi terbaik namun dikhabarkan sudah lebih 11,000 tiket dijual dan pastinya sorakan padu para penyokong akan memberikan semangat kepada skuad Hang Tuah ini.