JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan pemain berasal dari Argentina, Jalil Elias sebagai rekrut baharu Harimau Selatan dan menjadi pemain pertama yang ditandatangani menjelang musim baharu Liga Malaysia 2024-25.
JDT yang sebelum ini sudah pun mengesahkan kehadiran Jalil dalam skuad menerusi bekas pengendali, Esteban Solari bakal mendapat khidmat pemain tengah bertahan dari kelab San Lorenzo yang dilihat sebagai pencabar utama Natxo Insa di posisi tersebut.
Perkara ini diumumkan menerusi video yang dimuatnaik laman sosial rasmi kelab dengan Jalil kelihatan membawa pesona bintang keluar dari limosin mewah yang disambut Pengarah Sukan JDT, Martin Prest untuk menandatangani kontrak.
Welcome to the Home of the Southern Tigers! 💙❤️#JalilElias#NewSigning#JDTFamily#WhatCanYouDo#TheTMJEffect pic.twitter.com/SRWlFoFZaZ
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) January 3, 2024
Pemain berusia 27 tahun itu menempa nama di San Lorenzo dengan melakukan 117 penampilan sejak 2021 dan menjaringkan lima gol serta mempunyai tanda harga sebanyak €3 juta.
Kehadiran Jalil di Iskandar Puteri sudah pasti akan menambah sengat JDT meskipun dilaporkan bakal berjimat ekoran penstrukturan semula kewangan kelab bagi memastikan ianya lebih berdaya tahan untuk masa depan.
Juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu dengan pengendali baharu, Hector Bidoglio sudah pasti mempunyai ramuan tersendiri untuk meneruskan legasi kecemerlangan dalam Liga Malaysia selain mencabar dalam Liga Juara-Juara AFC Elite musim hadapan.
Jalil Elias yang turut memiliki kerakyatan Syria kini berada di Qatar bagi menghadapi kejohanan Piala Asia dan akan bertemu Malaysia dalam perlawanan persahabatan pada 8 Januari sebagai persiapan terakhir.