KEJUTAN melanda bola sepak tempatan apabila Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Ayub dikhabarkan melepaskan jawatan selepas hanya beberapa bulan menerajui badan induk itu.
Joehari sebelum ini dipilih sebagai Presiden FAM melalui Kongres Pemilihan tahun ini, menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang menamatkan tempoh perkhidmatannya. Namun, punca peletakan jawatan beliau masih belum diketahui setakat ini.
Buat masa ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung keputusan tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak negara.
Situasi ini turut dianggap sebagai satu tamparan hebat buat bola sepak negara serta badan induk bola sepak itu yang kini berdepan cabaran mencari kepimpinan baharu.
Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (JK EXCO) yang akan berlangsung pada Rabu ini dijangka menentukan siapa yang bakal dilantik sebagai pemangku Presiden FAM.
Antara calon utama yang akan memangku jawatan Presiden FAM ialah Timbalan Presiden iaitu Datuk S. Sivasundaram dan Datuk Wira Yusoff Mahadi.