PENGENDALI PJ City FC, P.Maniam jelas kecewa kerana tidak berjaya memberikan kemenangan kepada mendiang P.Rajes dan menganggap gol awal yang dilepaskan menggangu segala perancangan yang telah diatur.

Bekas pemain kebangsaan itu juga menganggap pertukaran taktikal daripada JDT dengan menurunkan hampir kesemua pemain tempatan sedikit menggangu perancangan pasukan namun tetap berbangga dengan aksi yang dipamerkan.

Maniam turut berbangga dengan kehadiran hampir 3,000 penyokong ke stadium kerana segala kutipan tiket pada perlawanan ini akan diserahkan kepada keluarga mendiang.

“Kami melepaskan gol awal sehingga membuatkan pemain tertekan dan mereka cuba untuk bangkit dan bermain dengan sedikit terbuka tetapi kami dihukum pula dengan gol kedua. Kami mempunyai peluang menjaringkan gol tetapi gagal dan mereka pula menyempurnakan kebanyakan peluang yang mereka perolehi.

“Pastinya kami mahu menang untuk mendiang P.Rajes tetapi kami tewas 0-4 dan mungkin ada pemain yang masih bersedih tetapi ini bukanlah alasan kekalahan ini dan kami perlu kembali fokus selepas ini.

“Kami juga ingin ucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir ke stadium menyokong Rajes dan keluarganya pada perlawanan ini kerana semua kutipan tiket akan diberikan kepada mereka.

“Saya tidak terperanjat dengan barisan yang diturunkan JDT kerana mereka mempunyai banyak pemain yang boleh bermain namun ianya sedikit menggangu perancangan kami akibat pertukaran taktikal ini tetapi kami tetap dapat memberikan saingan namun ianya tidak cukup,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Maniam menganggap perlawanan kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada 31 Oktober nanti adalah satu lagi perlawanan yang cukup sukar dan mencuba untuk tidak dibolosi dan dia berpuas hati dengan pencapaian PJ City pada musim ini.