PASUKAN Machan FC perlu menghantar surat rasmi kepada Amateur Football League (AFL) untuk mengesahkan penarikan diri dari saingan Liga A1 Semi-Pro.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh CEO AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad ketika dihubungi FLASH SUKAN.

“Sebelum ini, kami telah berhubung dengan wakil kelab Sarawak itu dan berbincang mengenainya. Ketika itu, Machan FC masih belum buat keputusan yang muktamad untuk menarik diri.

“Kami di AFL sangat terkejut apabila Machan FC mengumumkan bahawa mereka akan menarik diri dari saingan Liga A1 melalui media sosial semalam,” katanya.

“Kami telah menghantar satu e-mel kepada pasukan itu untuk mendapatkan kepastian mengenai keputusan mereka untuk menarik diri dari saingan Liga A1.

“Mengikut prosedur operasi kami, mereka perlu menghantar satu surat rasmi kepada AFL untuk memberitahu bahawa kelab itu memang akan menarik diri.

“Untuk sesebuah pasukan menarik diri dari saingan liga dibawah AFL, mereka perlu melakukan dengan cara dan saluran yang betul. Untuk menarik diri juga pasti ada kesan kepada pasukan itu seperti yang termaktub dalam kontrak pasukan itu kepada kami,” ujarnya lagi.

Semalam, Machan FC secara rasmi mengumumkan bahawa mereka akan menarik dari saingan Liga A1 Semi-Pro akibat kekangan kewangan yang dialami oleh pasukan dari Sarawak itu.