Kredit Gambar: KBS Malaysia

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengakui berlaku kelemahan komunikasi yang mencetuskan polemik berhubung perancangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk meneruskan misi ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata KBS mengambil tanggungjawab terhadap perkara itu dan mahu memastikan komunikasi antara atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), persatuan sukan kebangsaan serta pihak berkaitan dapat diperkemaskan.

Menurut beliau, komunikasi yang jelas amat penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau polemik dalam kalangan atlet dan masyarakat, khususnya berkaitan perancangan program persiapan ke temasya antarabangsa.

Beliau berkata keputusan untuk memberi laluan kepada Azizulhasni meneruskan misi ke LA28 sebenarnya telah dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga MSN pada 13 Ogos lalu, selepas badan berkenaan diarahkan membuat penilaian terhadap perkara tersebut.

Mohammed Taufiq turut memaklumkan bahawa surat tawaran bagi membolehkan Azizulhasni meneruskan misi ke LA28 telah dikeluarkan dua hari lalu, manakala KBS menerima maklum balas daripada pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu semalam.

Katanya, Azizulhasni telah bersetuju menerima tawaran berkenaan dan akan meneruskan khidmat bersama skuad negara dalam usaha memburu kejayaan di pentas Olimpik 2028.

Bagaimanapun, beliau mengakui kemungkinan berlaku salah faham serta kelewatan dari segi komunikasi sebelum keputusan berkenaan disampaikan sepenuhnya kepada pelumba berusia 38 tahun itu.

Susulan perkembangan tersebut, perbincangan seterusnya akan membabitkan Azizulhasni, persatuan, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperincikan bentuk bantuan serta sokongan yang diperlukan dalam persiapan menuju LA28, selain KBS merancang mengadakan sesi town hall bersama atlet untuk memastikan sebarang isu dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan lebih pantas.

Perkembangan itu sekali gus menamatkan persoalan mengenai masa depan Azizulhasni bersama skuad negara selepas beliau sebelum ini tampil menerusi media sosial bagi mendapatkan penjelasan mengenai status perancangannya ke LA28. MSN turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa menghargai jasa serta menyokong persiapan The Pocket Rocketman untuk meneruskan perjuangan di pentas Olimpik.