KETUA jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik mengakui skuad kendaliannya perlu bersedia dari segi fizikal dan mental apabila berdepan Malaysia dalam aksi dianggap getir Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun ini.

Menurutnya, walaupun beraksi di tempat sendiri merupakan kelebihan buat skuad Harimau Malaya, beliau tetap optimis pasukannya mampu memberikan tentangan sengit menerusi persiapan rapi menjelang aksi penting itu.

“Saya tahu bagaimana suasana di Bukit Jalil. Ia sangat besar dan boleh jadi cukup menekan, terutama untuk pasukan pelawat. Hari ini (Rabu) kami lihat lautan baju merah, tetapi bulan depan (Jun) kami akan lihat lautan baju kuning pula. Itu akan menjadi tekanan besar buat pasukan saya, tapi kami sedang membuat persiapan yang baik dan mahu pastikan kami benar-benar bersedia untuk perlawanan itu,” katanya, selepas memimpin skuad ASEAN All Stars menentang Manchester United, Rabu lalu.

Justeru, peluang mengumpul pemain terbaik ASEAN itu digunakan sebaiknya Sang-sik yang menganggap kekuatan skuad Harimau Malaya, ditunjangi dua pemain dan akan menganalisis lebih mendalam, peranan Sergio Aguero dan pemain pertahanan kental, Declan Lambert.

“Aguero memainkan peranan yang sangat penting sebagai kapten (ASEAN All Stars). Dia tidak gentar berdepan pemain berbakat Manchester United tempoh hari dan mampu memimpin pasukannya dengan baik sepanjang perlawanan.

“Declan Lambert juga sangat berbahaya. Dia pemain kebangsaan Malaysia dan mampu mencipta banyak situasi berisiko. Kami akan tumpukan analisis terhadap kedua-dua pemain ini menjelang pertemuan nanti,” ujarnya.

Vietnam yang kini berada di kedudukan dua teratas kumpulan F, pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, berkongsi tiga mata dengan Malaysia selepas satu perlawanan, dan mahu memastikan slot tunggal ke Piala Asia iaitu menjuarai kumpulan.

Pada perlawanan pertama pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, Vietnam menewaskan Laos 5-0, manakala Malaysia mengatasi Nepal 2-0.