KETIKA sorakan bergema di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam Khamis lalu, nama Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menjadi sebutan bukan sekadar kerana usia mudanya, tetapi kerana prestasi luar biasa yang dipamerkan dalam perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Cape Verde yang berakhir 1-1.
Ketua jurulatih kebangsaan, Peter Clamovski, tidak menyembunyikan keyakinannya terhadap potensi pemain pertahanan berusia 22 tahun itu yang dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan. Malah, Clamovski menyifatkan kehadiran Ubai dan beberapa pemain muda lain sebagai cerminan masa depan bola sepak Malaysia yang semakin cerah.
“Memang saya yakin. Dalam fasa pertama kem latihan, ada enam pemain daripada kelompok bawah 23 tahun dan mereka menyesuaikan diri dengan sangat baik. Mereka menunjukkan kesungguhan dan intensiti yang tinggi dalam setiap sesi. Ubai adalah contoh tepat tentang bagaimana pemain muda mampu menyesuaikan diri dan berkembang di tahap tertinggi,” ujar Clamovski.
Jurulatih kelahiran Australia itu turut menekankan bahawa falsafah skuad Harimau Malaya kini ialah membina generasi masa depan, bukan hanya untuk kejayaan jangka pendek, tetapi demi impian besar seperti layak ke Piala Dunia satu hari nanti.

Clamovski menyifatkan kehadiran Ubai dan beberapa pemain muda lain sebagai cerminan masa depan bola sepak Malaysia yang semakin cerah.
Ubai sendiri tampil rendah diri namun penuh semangat ketika menjawab soalan media.
“Sebagai pemain Malaysia, sudah tentu saya bangga dapat wakili negara. Saya bersyukur atas peluang ini, terima kasih kepada ibu bapa saya, barisan kejurulatihan dan sokongan daripada rakan sepasukan. Setiap peluang adalah tanggungjawab besar dan saya mahu terus berikan yang terbaik untuk negara,” katanya.

Ubaidullah menunjukkan prestasi luar biasa yang dalam perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Cape Verde yang berakhir 1-1.
Dengan semangat dan tekad yang ditunjukkan oleh pemain muda seperti Ubai, skuad Harimau Malaya jelas berada pada landasan yang positif. Malaysia akan menentang Cape Verde sekali lagi dalam perlawanan persahabatan tertutup pada 3 Jun, sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun yang pastinya dinanti penuh debar.
PIX:FAM