PETARUNG Muay Thai dari Hong Kong, Chan Pak Ho atau lebih dikenali sebagai Terrance, mencatat debut bergaya di Malaysia apabila menewaskan wakil tuan rumah, Mohammad Adib Mohammad Ramlee selepas tiga pusingan penuh dalam aksi sengit di ibu negara, malam tadi.

Aksi berlangsung dalam kategori 63kg itu menyaksikan kedua-dua petarung saling berbalas serangan dari awal pusingan pertama, namun ketenangan Terrance dalam mengatur strategi nyata memberi kelebihan buatnya mengutip mata demi mata sebelum diumumkan menang sebulat suara selepas tamat tiga pusingan.

Terrance, 25, yang mewakili Apex Muay Thai Gym, Hong Kong mengakui perlawanan itu bukan mudah buatnya apabila hampir terkena serangan siku belakang dari Adib, malah turut menerima lebam di wajah hasil pertarungan fizikal yang mencabar.

Chan Pak Ho dari Apex Muay Thai, Hong Kong kali pertama menyertai pertarungan di Malaysia.

“Adib ada kuasa pukulan yang kuat, jadi saya cuba elak lawan secara terbuka. Saya lebih mainkan strategi dan cari mata. Saya akui tidak berada di tahap kecergasan terbaik sebab dua minggu lepas saya ada bertarung juga, tapi ini satu pengalaman berharga untuk saya di Malaysia,” katanya , yang berpengalaman lebih 30 perlawanan dan memenangi 22 daripadanya dengan 2 K.O.

Sementara itu, Adib, 21, dari Muay Thai Negeri Sembilan yang baru setahun menyertai arena Muay Thai, tetap berpuas hati dengan persembahan sendiri meskipun tewas tipis. “Saya masuk gelanggang bukan fikir menang kalah. Yang penting, saya berani naik dan lawan. Dia makan nasi, saya pun makan nasi. Tangan dua sama, jadi kita lawan je lah,” katanya tenang.

Pertarungan “panas” sejak pusingan pertama dimulakan, namun pengalaman memisahkan antara kedua-dua petarung memberi kelebihan kepada Chan Pak Ho.

Anak muda yang kini menuntut di Politeknik Nilai dalam jurusan Logistik itu turut berkongsi pengalaman menerima empat jahitan di kepala akibat terkena serangan lawan pada pusingan kedua, namun tetap bertahan hingga ke akhir. “Bila kepala pecah tu, saya rasa keyakinan turun sikit. Tapi saya layan je sampai habis. Kalah pun tengok mata, beza 10-9 je,” jelasnya.

Dengan rekod kurang 10 perlawanan, Adib tetap menganggap pertembungan ini sebagai ‘kemenangan peribadi’. “Lawan saya ni dah ada lebih 30 fight. Saya baru nak mula. Kalau dapat peluang lawan semula, saya on je. Tahun depan kalau ada rezeki, kita balas balik,” katanya penuh semangat.

Bagi Terrance pula, kemenangan ini menjadi pembakar semangat menjelang pertarungan seterusnya Ogos depan. “Saya akan tingkatkan kecergasan dan lebih banyak sparring untuk persiapan seterusnya. Malaysia memang tempat yang menarik, saya pasti akan kembali,” ujarnya sambil tersenyum.