PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu semua pemainnya terus fokus meskipun berjaya mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas PDRM FC pada Sabtu.

Menurut pengendali berusia 52 tahun itu, perlawanan-perlawanan selepas ini pastinya akan lebih sukar.

“Kita telah melakukan persiapan selama lapan minggu dan sekarang kita mempunyai ramai pemain yang boleh menggantikan pemain sedia ada. Dalam Sabah FC, tiada istilah pemain kesebelasan utama. Bagi saya, kesemua pemain yang didaftarkan adalah kesebelasan kita dan mampu menunjukkan prestasi yang sama.

“Ini adalah perlawanan pertama dan kita tidak mahu terlalu yakin. Penting tiga mata ini dan saya tahu perlawanan selepas ini akan lebih sukar dan mahu kekal fokus untuk perlawanan akan datang serta berada pada tahap terbaik,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz memberikan kredit kepada pemainnya yang mampu memberikan saingan kepada pasukan Sabah yang lebih baik dan dia mahu jadikan perlawanan pertama di tempat sendiri menentang Perak nanti untuk mengutip tiga mata pertama.

“Kita akui pasukan Sabah jauh lebih baik dan kredit kepada pemain saya kerana berjaya bagi saingan. Secara keseluruhan kami berjaya mencipta beberapa peluang cuma kami gagal menyudahkannya dan akhirnya kami tewas pada perlawanan ini.

“Kami akan lakukan penggiliran pemain kerana jadual padat yang sedikit menyukarkan kami. Sasaran kami adalah untuk mencari tiga mata pertama di tempat sendiri dan pastinya perlawanan berbeza menentang Perak yang banyak dibarisi pemain muda,” katanya.

Sabah membenam PDRM FC menerusi dua jaringan daripada Saddil Ramdhani manakala masing-masing satu daripada Park Tae-su dan Stuart Wilkin untuk mendahului senarai Liga Super ketika ini.