PENGERUSI Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail meletakkan sasaran untuk meningkatkan nilai komersil dan populariti sukan futsal dengan menarik lebih banyak pasukan menyertai Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL).
Beliau mengakui dengan kehadiran beberapa pasukan baharu seperti Sabah, Sarawak dan terutamanya Johor Darul Ta’zim (JDT) yang pastinya membuka minat lebih banyak pihak untuk menjadi penaja.
“Saya berterima kasih kepada pasukan-pasukan baharu dan diharap ianya dapat memberikan impak dan persaingan yang amat baik kepada pembangunan sukan ini untuk melahirkan pemain baharu yang boleh diserapkan ke pasukan kebangsaan.
“Kita berharap kehadiran banyak pasukan yang mempunyai minat dalam sukan ini dapat membantu meningkatkan nilai komersil liga ini setelah terpaksa dihentikan akibat Covid-19 dan tahun ini adalah satu tahun permulaan untuk kami,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran MPFL 2023 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada Ahad.
Rosmadi turut menyatakan selain dari meningkatkan nilai komersil, kehadiran pasukan-pasukan baharu ini turut diharap dapat membantu menghasilkan bakat-bakat baharu futsal yang boleh diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan.
MPFL 2023 dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim sebelum sepak mula perlawanan antara KPT PST Mustang dan Pahang Rangers.
Dalam perkembangan lain, Rosmadi turut mengesahkan liga futsal wanita turut akan diadakan pada tahun ini untuk merancakkan lagi penglibatan wanita dalam sukan ini dengan tarikh dan format pertandingan akan diumumkan dalam masa terdekat.