PENYERANG naturalisasi pertama Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue menyambut baik sekiranya selepas ini dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, dia ingin berbakti sepenuhnya bersama KL City FC terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Saya masih tidak tahu tentangnya. Jurulatih Kim Pan-gon belum menelefon saya dan mengundang saya bersama skuad kebangsaan.
“Tetapi jika perkara tersebut berlaku, saya sangat berbesar hati untuk membantu pasukan kebangsaan serta pemain lain tetapi seperti yang saya katakan saya perlu berusaha keras bersama KL City terlebih dahulu.

“Saya tidak boleh bersama pasukan kebangsaan selagi saya tidak bekerja dengan baik bersama KL City, jadi saya harus berusaha keras dahulu untuk menyakinkan skuad kebangsaan memanggil saya,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan Liga Super pada Sabtu.
Baharu sahaja bergelar rakyat Malaysia berserta telah mendapat pengesahan kad pengenalan merupakan sesuatu yang sangat mengujakan buat Josue.
Semangatnya itu jelas kelihatan apabila dia berjaya menyumbang dua gol sekaligus membantu Kuala Lumpur City FC mengikat Penang FC 2-2 dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
“Perasaan berbeza apabila bermain sebagai pemain Malaysia. Hari ini, saya adalah orang Malaysia. Saya rasa sangat gembira untuk membawa sesuatu kepada pasukan dan kelab.

“Saya rasa penyokong akan menjadi lebih kuat bersama pasukan. Sudah tentu, saya harap kita dapat meneruskan momentum cemerlang kami,” jelasnya.
Biarpun agak kekok pada mulanya untuk menyesuaikan diri sebagai rakyat Malaysia, namun dia mula mengakui jati dirinya sudah bertukar menjadi anak Malaysia dengan kad pengenalan berada di tangannya.
“Saya masih menyesuaikan diri sebagai rakyat Malaysia. Ia mungkin agak tergesa-gesa tetapi ia telah berlaku.
“Mula- mula tiga minggu kemudian satu bulan orang bercakap tentang kerakyatan saya dan akhirnya saya berjaya menjadi rakyat Malaysia. IC kini berada di tangan saya,” katanya.